Popular Posts

Friday, December 14, 2007

Nak Buat Sex Sebelum Kahwin? Baca Ni Dulu!

Ini tentang cinta moden. Pasal apa saya kata cinta moden, pasal sex sebelum kahwin pada hari ni seolah-olah telah menjadi perkara biasa jer pada ramai pasangan yang sedang dilamun cinta.

Saya tak nak cerita perkara ni dari sudut agama, kesihatan, atau budaya sebab saya pasti itu semua kita tau dah jawapannya. Apa yang saya nak cerita dalam artikel ni dari sudut lain pulak dan seperti biasa..khas untuk anda wanita semualah.

Okay, untuk pengetahuan anda, lelaki ni kebanyakannya sanggup melakukan apa sahaja untuk sex, bukan semualah..tapi kebanyakannya. Wanita pulak kebanyakannya sanggup melakukan apa sahaja untuk mendapatkan komitmen dari seorang lelaki/pasangan kepadanya. Sex bagi lelaki boleh membuatnya rasa lebih dekat dengan wanita, lebih intim, lebih menjadikan sesuatu perhubungan itu sangat bermakna.

Betul ke?

Bergantung kepada keadaan!! Macamana tu?

Okay, kalau anda baru kenal dia, 2-3 kali dating dah jadi “couple”, atau pun baru bercinta, baru berpasangan dengannya lebih kurang 4-5 bulan macam tu dan kemudian anda telah “having sex” dengannya dalam jangkamasa yang terlalu pendek ini, kebarangkalian anda ditinggalkan adalah amat-amat cerah sekali. Mungkin 2-3 hari lepas tu atau mungkin 2-3 bulan lepas tu. Kenapa? Sebab dia “dah dapat” anda dan pada dia lagi, dia dah dapat anda dengan cara yang mudah! (apatah lagi kalau anda memang bersama lelaki “species” berbahaya).

Kena faham senarionya di sini, bila seseorang wanita itu “memberi” kepada lelaki, atau melakukan sex dengan seorang lelaki SEBELUM lelaki itu ada komitmen dengannya, maka wanita tersebut meletakkan dirinya terang-terang dalam bahaya. Ini kerana wanita itu telah memberikan sesuatu yang amat tinggi sekali “nilainya” dan berharga kepada lelaki tersebut dan sebaliknya apa pula yang lelaki itu berikan kepadanya dengan nilai yang sama, nilai yang setara dengan apa yang telah wanita itu berikan?

Cakap lebih mudah lagi, bila seorang wanita itu telah “memberi” kepada seorang lelaki, apa lagi yang tinggal pada wanita tersebut untuk diberi? Dah “beri” habis dah.. takde apa lagi dah tinggal! Kemudian wanita akan mengharapkan lelaki tersebut berikan perkara yang “sama nilainya” kepada dia yang memang itulah perkara asalnya yang wanita harapkan iaitu – komitmen sepanjang hayat, atau pun menjadi suaminya. Agak-agak andalah.. apa yang berlaku?

Ya, apa yang berlaku ialah kebanyakan wanita ditinggalkan oleh lelaki. Ini sudah jadi “habis manis, sepah dibuang”.

Apa yang perlu wanita lakukan ialah JANGAN “memberi” atau melakukan sex sehinggalah dia mendapatkan komitmen dari seorang lelaki terhadapnya iaitu perkahwinan.

Wanita juga perlu memastikan jika seorang lelaki itu betul-betul cintakannya, dia perlu membuktikan cintanya itu dengan bekerja keras untuk mendapatkan hati, menjaga hati dan diri wanita itu seterusnya setelah berkahwin nanti barulah lelaki tersebut akan “diberi hadiah” oleh wanita itu di atas segala usaha dan kejujuran cintanya.

Lagi satu bila wanita hanya “memberi sex” selepas perkahwinan, lelaki akan lebih lagi menghargai wanita itu kerana semasa bercinta dan belum berkahwin lagi wanita itu sendiri telah mengajar kepada lelaki tersebut untuk menghargainya dengan cara menyampaikan mesej bahawa sex adalah sesuatu yang istimewa baginya yang hanya akan diberikan kepada lelaki yang benar-benar jujur, bertanggungjawab, dan setia.

Saya pasti anda setuju!

Wednesday, December 12, 2007

6 Jenis Wanita Yang Mudah diTipu Lelaki.

1. Wanita yang terlalu mudah mempercayai lelaki.

Dah sayang la katakan… jadi apa sahaja yang lelaki/pasangan katakan, kepercayaan adalah seratus peratus. Bukan maksud saya percaya separuh-separuh atau percaya pasangan jangan sampai 100%, tetapi maksud saya mudah percaya yang membuta-tuli dan menerima apa sahaja tanpa menggunakan akal fikiran yang waras adalah amat tidak wajar.

Contoh mudah: Pasangan anda berkerja sebagai seorang kerani dan gaji bulanannya sebanyak RM1000.00 sebulan bersih(dah ditolak KWSP dsb.). Anda pula memang tahu status kewangan dan “pattern” perbelanjaannya. Dia ada banyak tanggungjawab, bil-bil untuk dijelaskan setiap bulan dan sebagainya. Kira gajinya cukup-cukup sahaja.

Satu hari dia membelikan anda cincin emas berharga RM700.00. Anda tanya, “Mana dapat duit?”. Dia kata, lama dah simpan khas untuk “surprise”kan anda. Oklah, boleh terima.

Bila anda tengok pakaiannya pula berjenama. Dia mula “shopping sakan” dan anda pun dia belikan bermacam barangan lagi. Anda tanya lagi, “Mana dapat duit?”. Dia kata, “ada la “bisnes” dengan kawan...” Anda pun percaya terus…

Soalan di sini, dalam senario di atas, tidakkah anda rasa musykil dan bermacam soalan lagi bermain dalam kotak fikiran tentang jawapan mudah seperti itu? Atau anda tergolong dalam wanita yang terus percaya 100% tanpa banyak soal lagi?

Ingat! Lelaki yang berterus-terang dan jujur dengan pasangannya akan menyatakan, menjelaskan dengan selengkapnya tentang apa yang ditanya atau diragui oleh pasangannya. Dia tidak akan menyembunyikan apa pun kerana baginya, wanita yang disayanginya bukan sahaja tempat berkasih, malah tempat berkongsi apa sahaja. Lagi pun, nak rahsia apa, bukan dengan orang lain?

Jadi, sekiranya ada sesuatu yang anda rasa ragu-ragu, perlu ditanya kepada pasangan anda, jangan tunggu, jangan simpan. Cuma pastikan anda bertanya kepada dia pada masa dan keadaan yang sesuailah. Percaya secara total dan “semborono” boleh meletakkan anda dalam bahaya.

Contoh dalam senario di atas tadi, menjadi rakan kongsi untuk mengedar dadah adalah maksud sebenar dia berkenaan ayat, “ada la bisnes dengan kawan…”.

Kalau ini berlaku… macamana?


2. Wanita yang “terdesak” untuk berkahwin.

Umur yang semakin lanjut membuatkan ramai wanita yang belum berpasangan risau akan status diri. Walaupun pada zaman yang semakin canggih ini, melihat wanita yang berkerjaya lewat berkahwin adalah perkara biasa, namun majoriti wanita yang semakin meningkat umurnya risau jika masih belum mempunyai pasangan hidup.

Kerisauan terhadap faktor umur yang meningkat, tekanan ibu bapa, pandangan masyarakat, dan juga kerisauan terhadap peluang untuk mendapatkan cahaya mata yang semakin kurang jika kahwin lewat mampu menyebabkan sesetengah wanita seolah-olah “terdesak” untuk mencari pasangan hidup.

Dalam keadaan seperti ini, kadangkala mereka boleh “terlepas pandang” tentang sikap, kualiti, dan peribadi lelaki yang dipilihnya itu.

Wanita yang berkahwin lewat pada zaman ini pula kebanyakannya berkerjaya secara tidak langsung membawa maksud mereka sudah mempunyai tahap kewangan yang stabil.

Ini memungkinkan mereka menjadi mangsa “buaya professional” yang sentiasa mencari peluang untuk mengambil kesempatan ke atas wanita seperti ini. Kalau anda dalam golongan wanita seperti ini, ingat… biar lambat, asal selamat!


3. Wanita “sosial”.

Ini bukan sosial dari segi terlibat dengan Mercy Malaysia ke, persatuan wanita di kawasan anda ke, atau perkara yang seumpamanyalah.

Sosial dalam hal ini ialah suka kepada “night life”, disko, berparti, “clubbing”, pergaulan bebas tanpa had dan hidup dengan falsafah “life is short, so have fun!”, atau “masa muda ni la nak rasa macam-macam..”. Fahamkan maksud saya?

Wanita-wanita ini (lebih ramainya gadis remaja), yang melibatkan diri dengan cara hidup bebas dan sosial seperti ini terang-terangan mendedahkan dan “mengiklankan” diri sendiri kepada “species” lelaki pemangsa wanita.

Bersosial tanpa batasan adalah di antara resepi utama yang menyebabkan ramai wanita dan gadis remaja ditipu sekaligus dirosakkan oleh lelaki yang tidak bertanggungjawab.

Tepuk dada, tanya selera!


4. Wanita yang tidak mementingkan ilmu.

Wanita yang mementingkan ilmu dalam konteks percintaan, perkahwinan dan memilih pasangan hidup bukanlah bermaksud wanita yang mempunyai ijazah berjela-jela dari universiti terkenal. Bukan itu sahaja. Kalau itu yang dijadikan ukuran wanita berilmu, kenapa masih terlalu ramai wanita yang ditipu, dihina, dipermainkan, dan sebagainyalah oleh lelaki yang berbahaya?

Wanita yang berilmu dalam konteks ini ialah wanita yang mampu memandu dirinya supaya tidak “terpilih” lelaki penipu dan berbahaya. Sekiranya dia “terjebak” dengan lelaki penipu/berbahaya, dia tahu apa yang perlu dilakukan atau di mana untuk mendapatkan bantuan yang sewajarnya.

Ia juga bermaksud wanita yang mengetahui hak-haknya sebagai wanita dan sebagai seorang isteri. Wanita yang berilmu juga berani “membetulkan” keadaan dan mempertahankan haknya bila perhubungan/perkahwinannya terganggu/diganggu sama ada oleh pihak ketiga atau pasangannya sendiri.

Wanita seumpama ini mampu menjadi pasangan/isteri yang sentiasa menjadi kebanggaan pasangan/suaminya sendiri dan mempunyai segala sifat sebagai seorang yang cemerlang.

Wanita seperti ini, sentiasa cintakan ilmu. Sentiasa melengkapkan dirinya dengan ilmu selagi hayat dikandung badan.

Wanita yang mempunyai segulung ijazah atau Ph.D pun boleh ditipu dan dipermainkan lelaki “species berbahaya” ini…apatah lagi jika wanita yang hanya meletakkan 100% kebahagiaannya ke atas lelaki dan langsung tidak mahu atau mengambil mudah untuk meningkatkan ilmu dalam diri?


5. Wanita yang memandang “faktor fizikal” sebagai salah satu ciri utama pada lelaki idamannya.

Mudah jatuh cinta dengan lelaki handsome? Atau mungkin juga lelaki “cute”, “macho”, dan mempunyai fizikal yang begitu menggoda hati?

Ingat..semakin “handsome”, “cute”, “sexy” seseorang lelaki itu, sebenarnya semakinlah anda sebagai wanita perlu menggandakan “sistem pertahanan” diri. Kalaulah ramai wanita boleh diperdayakan oleh lelaki yang TAK “handsome” dan seumpamanya, apatah pula risiko ditipu oleh lelaki yang “handsome”?

Ingat.. “handsome”, “cute”, dan seumpamanya itu pada seseorang lelaki sepatutnya BUKAN menjadi antara ciri-ciri utama lelaki idaman wanita. Ia sepatutnya hanya menjadi ciri-ciri “bonus” lelaki idaman wanita.

Nasihat untuk wanita yang mudah “cair” dengan lelaki seperti ini, dan menjadikan lelaki seperti ini sebagai “target” utama ciri bakal pasangan hidupnya: fikir masak-masak!

Anda mungkin sedang diperhatikan oleh “pemangsa handsome dan sexy” yang sentiasa mencari wanita untuk ditipu dan dipermainkan..


6. Wanita yang “sabar” tidak bertempat.

Wanita dalam golongan ini boleh kita katakan jenis yang selalu “makan hati berulam jantung”, atau mungkin juga dah sampai tahap “makan tangan berulam kaki”. Dia didera(fizikal atau perasaan), tidak dihargai, sentiasa diambil kesempatan oleh pasangan/suaminya namun masih tetap bersama lelaki itu walaupun dia sedar dia terseksa dan tertekan.

Soalnya di sini, bila diperlakukan sebegitu, dia hanya “berharap” pasangannya akan berubah pada satu masa nanti TANPA mengambil tindakan yang sewajarnya.

Tidak salah bersabar. Malah sabar adalah satu sikap yang baik, dituntut, terpuji, dan mulia. Namun demikian, sekiranya kesabaran itu akhirnya membawa mudarat terhadap diri sendiri, sesuatu perlu dilakukan.

Bersabar walau diperlakukan apa sahaja oleh lelaki/pasangan seperti ini seolah-olah memberi “lesen” kepadanya untuk terus mendera, menipu, dan menghina maruah wanita yang terlibat.

Ingat kata orang dulu-dulu… “sabar biarlah bertempat”.

Monday, December 3, 2007

Tentang Lelaki Idaman Wanita

Apakah ciri-ciri lelaki idaman wanita? Saya cukup pasti setiap wanita secara individu mesti ada ciri-ciri khusus tentang lelaki idamannya dan ciri-ciri itu pula hampir tidak banyak bezanya jika dibandingkan dengan wanita lain secara keseluruhan.

Okay, ciri yang biasanya bagi wanita tentang lelaki idaman mereka ialah:

Beriman(bagi mereka yang beragama Islam), romantik, pembersih, bijak atau berilmu, mempunyai pendapatan tetap atau stabil, kelakar atau lucu, tak kedekut, “handsome”, sihat, peramah, menghormati orang tua dan keluarga, boleh/mampu memimpin wanita, tak cemburu buta, tak mengongkong, dan banyak lagilah.

Namun, seperti biasalah, bila dah dapat lelaki idaman yang memenuhi ciri-ciri diidamkan dan menjalinkan perhubungan cinta, tiba pada tahap tertentu dalam perhubungan masalah timbul. Di awal perhubungan semuanya indah, semakin hubungan berkembang dan masa berlalu konflik pasti akan wujud. Di sinilah masalah bermula.

Ingat ya, “ Perhubungan yang sebenar hanya bermula selepas berlakunya konflik di antara pasangan”. Konflik “pertama” yang terjadi di dalam perhubungan anda itu, dan juga seterusnya boleh dijadikan ukuran adakah pasangan anda itu adalah lelaki idaman anda.

Macamana tu? Okay, nak tahu adakah lelaki idaman anda tu benar-benar lelaki idaman ialah anda perhatikan semasa dia tengah marah. Marah tu bukanlah marah biasa-biasa saja tapi sesuatu perkara yang memang membuatkan dia marah sehingga nampak macam nak meletup. Pada masa itulah anda boleh lihat cara dia menguruskan emosinya. Pada masa itulah anda dapat lihat adakah dia mampu mengawal dirinya dan cara dia menguruskan keadaan.

Adakah dia terus merajuk? Terus tidak mahu bercakap dengan anda berjam-jam atau berhari-hari lamanya?

Adakah dia memaki hamun anda dan mengeluarkan perkataan kasar yang anda tidak langsung terfikir akan keluar dari mulutnya terhadap anda?

Adakah dia akan terus mengamuk, memaki-hamun, menendang apa yang ada di sekelilingnya, dan tidak cukup dengan itu, mengherdik dan mengugut anda, atau mungkin juga menampar, menumbuk, dan mencederakan fizikal anda? (ramai wanita merasai pengalaman seperti ini bersama “lelaki idaman” mereka).

Atau, dia sedar dia marah, dan cuba sedaya upaya “cool”kan dirinya. Dia dapat mengawal diri dengan baik walaupun anda sedar dia memang tengah “mendidih”. Kemudian dia akan cuba menyelesaikan masalah dengan sebaik mungkin. Mungkin juga dia minta masa untuk dirinya bersendiri buat seketika sebelum menyambung kembali komunikasi dengan anda untuk menyelesaikan konflik. Walaupun dia ambil masa sikit untuk menangani konflik yang berlaku, namun tindakannya membuatkan anda rasa selamat.

Ya, saya kata “selamat”. Apa yang sebenarnya membuatkan seseorang lelaki itu menarik, ialah dia berkeupayaan untuk membuatkan pasangannya berasa selamat. Bila digabungkan iaitu dia mampu membuatkan anda berasa selamat dan juga istimewa, maka dia bukan sahaja lelaki idaman anda, malah lelaki idaman semua wanita!

Adalah mudah bagi lelaki untuk membuatkan wanita rasa dihargai dan “special”. Tetapi tidak mudah bagi semua lelaki untuk melayan wanita/pasangannya dengan baik, dengan “beradab” bila lelaki tersebut sedang benar-benar marah. Berasa diri dihargai, istimewa, tidak sama langsung dengan berasa diri selamat.

Tindak balas atau respon bila dia marah akan menentukan sebanyak mana anda rasa selamat berada di sampingnya dan tanpa pengetahuan anda tentang perkara ini, anda mungkin tidak akan mampu untuk mempercayainya seperti mana yang dia inginkan.

“Mampu Memimpin Saya”

Ini adalah satu lagi ciri lelaki idaman hampir setiap wanita. Lelaki yang mampu memimpin. Ramai wanita setuju kalau dikatakan suami adalah pemimpin dalam sebuah keluarga. Memimpin pula boleh dikatakan membawa isteri/pasangan ke arah jalan yang benar. Memandu pasangan supaya jadi seorang yang baik, berbudi pekerti, menjaga maruah pasangan/isteri, dan sebagainyalah.

Dari sudut lain, bila wanita menyatakan antara ciri lelaki idamannya ialah lelaki yang boleh memimpin dirinya, secara tidak langsung dia telah meletakkan kebahagiaannya di atas tangan orang lain. Bila dia mendapat pasangan/bf/suami, maka dengan harapan yang tinggi menggunung semoga lelaki idamannya itu akan menjadi penunjuk arah dalam hidup dan pelindung dirinya.

Dalam dunia hari ini, banyak perkara tak diduga berlaku. Setelah menjadi pasangan, wanita didera, dihina, dan “dipimpin ke arah yang benar” oleh pasangannya – dari menutup aurat kepada membuka aurat, dari dilindungi maruah kepada dicabul maruah, dan sebagainya.

Soal pokok dan utama di sini, anda sebagai wanita perlu menjadi pemimpin kepada “diri anda sendiri” sebelum membenarkan pasangan/suami memimpin anda. Menjadi pemimpin kepada diri anda sendiri terlebih dahulu membolehkan anda menjadi seorang wanita yang kuat dan jitu semangat, jiwa dan raga sekaligus membuatkan pasangan anda kagum dan bangga memiliki anda sebagai pasangan.

Pastikan bukan si dia seorang sahaja yang memimpin anda, kerana perhubungan yang sentiasa indah dan cinta sejati adalah berkonsepkan kedua pasangan sentiasa beriringan dalam memimpin di antara satu sama lain.