Popular Posts

Wednesday, August 22, 2007

10 Kebenaran Tentang Lelaki.

1. Bila awak cakap dengan lembut, saya tak mampu mengelak dari memberikan perhatian.

2. Kadangkala awak perlu katakan “tidak” kepada saya. Bukanlah selalu, tetapi ini akan mengingatkan kepada saya bahawa awak ni seorang yang “mahal dan berharga”.

3. Tolonglah jangan tanya saya bagaimana rupa awak, kecuali bila awak benar-benar akan percaya jawapan saya nanti.

4. Bila awak rasa suka dan bahagia bersama saya, saya akan rasa lebih banyak lagi ingin membahagiakan awak.

5. Kalau saya rasa tidak dapat membuatkan awak suka dan bahagia, saya rasa seolah-olah bukan lelaki sebenar dan sejati.

6. Saya harap sangat awak dah bersiap dan bersedia bila saya tiba untuk menjemput awak.

7. Saya takut sekiranya saya membenarkan wanita berada di dalam hati saya, kemungkinan dia akan mengambil kesempatan.

8. Mungkin awak arif tentang fesyen, tetapi saya sangat berharap awak berpakaian untuk mengambil hati saya, bukan untuk menunjuk kepada wanita lain.

9. Kalau saya bercakap tentang golf dan awak nampaknya macam “boring” jer, kan elok kalau awak cuba ingat pada setiap masa awak bercakap, saya sentiasa mendengar dan beri perhatian tentang perkara yang penting pada awak.

10. Kalau awak sendiri tak percaya yang awak ni cantik, awak takkan percaya bila saya cakap perkara yang sama, tak kiralah berapa banyak pun saya katakan.

Wednesday, June 20, 2007

Kesan Pengaruh Keluarga Dalam Corak Anda Memilih Pasangan

Secara langsung atau tidak, proses membuat keputusan dalam hidup kita pada masa akan datang, tingkahlaku dan juga kelakuan kita telah dilatih dalam keluarga yang kita dibesarkan. Wanita yang selalunya mempunyai pola/corak untuk memilih lelaki berbahaya sebagai pasangan dibesarkan dalam rumah/keluarga yang mana ibunya telah memilih lelaki berbahaya sebagai suami atau abang/pakcik/datuk/orang terdekat dengannya adalah lelaki yang berbahaya.

Tolak-ansur dalam keluarga terhadap tingkahlaku lelaki seperti ini secara perlahan-lahan menyebabkan anak perempuan dalam keluarga tersebut menyesuaikan dirinya dengan kelakuan yang tidak normal ini.

Gadis yang muda dan masih kecil ini dibesarkan dalam suasana yang mana kelakuan seperti ini diberi nama baru, diberi bentuk baru, dan label baru akibat penyesuaian yang dibuat oleh keluarga tersebut. Keadaan ini menjadi batu asas baginya bila tiba proses membuat keputusan dalam hidup setelah dia dewasa.

Kebanyakan wanita yang cenderung untuk terus memilih perhubungan yang berbahaya dan merosakkan adalah wanita yang dibesarkan dalam suasana tidak selamat dan menyaksikan wanita dewasa memberi laluan terhadap tingkahlaku seperti ini dan tetap kekal berada dalam situasi itu. Banyak faktor KENAPA seseorang wanita itu tetap berada dalam situasi ini – masalah kewangan, pandangan masyarakat, ketakutan, dan sebagainyalah. Soalannya di sini bukan KENAPA tetapi APAkah kesan ke atas anak gadisnya dan bagaimana kesan itu akan diterjemahkan dalam kehidupan dewasanya kelak.

Keluarga yang mempunyai individu yang mengalami masalah ketagihan (alkohol, dadah, dsb) yang teruk dan tidak mendapatkan rawatan adalah jenis keluarga yang berkemampuan menghasilkan sama ada anak perempuan yang cenderung kepada ketagihan juga atau anak perempuan yang bakal menjadikan lelaki yang ketagihan sebagai pasangannya.

Keluarga yang mempunyai individu yang mengalami masalah tekanan mental dan tidak mendapatkan rawatan mampu menghasilkan anak perempuan yang akan memilih pasangan yang mempunyai penyakit yang sama bila dewasa tanpa disedari olehnya.

Wanita yang dibesarkan dalam keluarga yang mempunyai masalah seperti “schizophrenics” atau “bi-polar” pula selalunya tidak tahu apa yang dimaksudkan dengan tingkahlaku normal yang sepatutnya ada pada diri orang dewasa. Oleh itu, mengikut apa yang normal pada pandangan mereka, gadis ini akan menjadikan lelaki yang bermasalah sebagai ikutan kerana bersama lelaki seperti inilah dia dibesarkan.

Adalah satu perkara yang mustahil untuk kita memilih dalam keluarga mana kita ingin dilahirkan. Namun sebagai orang dewasa yang hidup hasil dari didikan dan suasana dalam keluarga kita, sebolehnya kemampuan untuk bersikap proaktif dalam mengenal pasti sekiranya kita mempunyai masalah emosi dan cara untuk menanganinya perlu ada.

Wanita yang mempunyai sejarah berkaitan perhubungan buruk yang kronik selalunya adalah mereka yang tidak dapat mengenal pasti kaitan di antara didikan yang diterima semasa kanak-kanak dengan cara mereka memilih lelaki pilihan mereka bila dewasa. Tanpa mengetahui perkara penting seperti ini, mereka selalunya akan berterusan dan sentiasa memilih jenis lelaki yang sama sahaja dan mereka tertanya-tanya apakah maksud tarikan itu dan kenapa selalunya mereka lebih tertarik dan bersama lelaki yang tidak baik dan bermasalah.

Pengaruh di zaman kanak-kanak kerap mempengaruhi corak wanita dalam memilih – lelaki yang telah berkahwin, lelaki yang mempunyai masalah ketagihan(alkohol, dadah, dsb), lelaki yang mempunyai masalah tekanan atau penyakit mental, lelaki yang mempunyai masalah emosi dan berbagai lagi jenis lelaki yang berbahaya. Pilihan terhadap lelaki seperti ini tidak berlaku begitu sahaja tanpa wujudnya sebab dalam hidup seorang wanita itu. Terdapat sesuatu dalam diri mereka yang tumbuh dan berakar umbi mengakibatkan mereka cenderung ke arah memilih lelaki seperti ini. Pola seperti ini terbentuk semasa dia masih kanak-kanak lagi dan bila dia dewasa dan mengikut pola seperti ini dalam hidupnya maka kaunseling diperlukan untuk membantu mereka melihat, memahami sekaligus membolehkan mereka keluar dari keadaan itu.

Corak pilihan wanita seperti ini juga boleh memberi kesan kepada anaknya kelak. Ramai wanita terutamanya di negara barat yang rasa bersalah dan tidak sanggup melihat anak mereka menjadi mangsa akibat tindakan mereka sendiri membuat pilihan yang salah pergi mendapatkan bantuan pakar. Kesedaran untuk mendapatkan bantuan pakar seperti ini masih lagi kurang di kalangan masyarakat kita di Malaysia.

Kanak-kanak yang telah melihat dan menyaksikan tindakan kasar atau ganas, dipukul atau didera oleh ayah/teman lelaki mereka adalah generasi seterusnya yang berpotensi sebagai mangsa atau mungkin juga menjadi pendera atau keduanya sekali bila meningkat dewasa.

Wanita yang sewaktu kanak-kanaknya dipukul atau didera lebih berkemungkinan untuk memilih teman lelaki/pasangan yang bersifat mendera(terhadap fizikal mahupun emosional) berbanding wanita yang tidak mengalami pengalaman sedemikian semasa kecil. Wanita yang sering didera ini sentiasa keliru dengan corak kehidupan mereka yang seperti ini. Mereka cukup PASTI bahawa mereka tidak mahu langsung berada dalam situasi yang sama seperti zaman kanak-kanak dahulu. Namun demikian, isu-isu dalam hati dan dirinya tentang pengalaman/trauma lalu yang masih belum sembuh itulah yang menarik mereka ke arah terjadinya corak pilihan yang mereka buat dalam berpasangan.

Dalam banyak hal, wanita selalunya cuba untuk menyembuhkan luka masa lalunya dengan memilih seseorang yang dirasakan mampu membawanya kembali ke saat isu yang belum sembuh itu berlaku. Ini dirasakan sebagai satu pemangkin oleh wanita tersebut untuk membolehkan dia menyembuhkan segala isu yang belum selesai dalam dirinya.

Kitaran corak dalam membuat pilihan yang merosakkan ini boleh terjadi daripada cara dan suasana kita dibesarkan. Namun, bila kita mula sedar, mula mengetahui masalah ini dan mula mengenal pasti keadaan kesihatan emosi diri sendiri, kefahaman tersebut akan membolehkan kita mengubah corak pilihan kepada pasangan yang sihat dan baik pada masa hadapan.

Apa saja pengalaman yang telah anda lalui dalam hidup yang lalu, anda berhak mendapatkan masa untuk membenarkan diri anda sembuh supaya anda dapat menikmati perhubungan yang lebih sihat dan bahagia di masa akan datang. Anda ubah pilihan anda, anda mengubah hidup anda!

Thursday, May 3, 2007

Lelaki BERBAHAYA! – Adakah Anda Terlibat Dengan Mereka?

Ingin mencari pasangan hidup dan cinta sejati adalah lumrah kita sebagai manusia. Sebagai wanita pula, kerisauan takut tersilap pilih pasangan adalah lebih dari lelaki.

Ini kerana sekiranya wanita tersilap pilih lelaki, maka kesan buruk yang bakal dilalui dalam hidup memberi kesan dan trauma yang mendalam terhadap emosi dan kehidupan mereka seterusnya.

Walaupun semua wanita tahu wujudnya lelaki yang ‘berbahaya’ namun masih ramai wanita tanpa sedar atau tidak terlibat bertemu dan berpasangan dengan mereka.

Kenapa masih ramai juga wanita terlibat memilih lelaki berbahaya?

Adakah mereka sengaja melibatkan diri dengan mereka? Tak mungkin!

Adakah mereka dikaburi dengan perasaan kesunyian dalam hidup dan amat memerlukan cinta dan kasih-sayang sehingga membuat pilihan yang salah?

Adakah mereka mempunyai tabiat atau sikap yang tak disedari dari dulu lagi yang menyebabkan mereka sentiasa memilih dan terlibat dengan lelaki berbahaya?

Adakah cara mereka dibesarkan dalam keluarga yang porak-peranda dan kurang perhatian menyebabkan mereka cenderung ke arah memilih lelaki seperti ini tanpa mereka sedar?

Atau adakah dengan mudah kita nak menyatakan itu adalah takdir yang Maha Esa?

Saya tertarik untuk menulis artikel berkaitan dengan lelaki berbahaya ni sebab pada pandangan saya, (anda pun mungkin setuju..) semakin hari semakin ramai wanita yang terlibat berpasangan dengan lelaki yang berbahaya. Tak kiralah sama ada sebagai teman lelaki mahu pun wanita yang telah berumahtangga.

Satu perkara yang memang pasti, wanita Tak Sedar dan Tak Tahu pun pada awal perkenalan atau perhubungan bahawa lelaki yang menjadi pasangannya itu berbahaya.

Macamana nak tahu seseorang lelaki itu berbahaya atau tidak? Ada ramai lagi ke lelaki yang betul-betul baik dan “sihat” dalam dunia ni?

Ada, kalau anda sendiri “sihat” dari segi emosi dan mempunyai pengetahuan yang berkaitan.

Ini membolehkan anda sekiranya berjumpa dengan lelaki jenis ini dan mengenalinya, anda mampu menghadapi dan seterusnya menjauhkan dia dari hidup anda. Hasilnya, anda boleh menumpukan masa, tenaga dan emosi untuk memfokuskan kepada lelaki yang baik dan sihat emosinya.

Adakah anda memahami peranan dan keadaan diri anda seterusnya menggunakan pengetahuan yang ada untuk mengubah keadaan supaya hidup anda berubah dan lebih selamat?

Artikel kali ini, saya terangkan dengan ringkas siapa dia yang dikatakan lelaki berbahaya supaya sekurang-kurangnya dapat membantu anda melihat dengan lebih luas lagi konsep tersebut.

Siapa lelaki yang berbahaya?

Lelaki yang boleh dikategorikan sebagai berbahaya kepada anda wanita ialah:

“Lelaki yang merosakkan/mengganggu/menyakitkan dan mendera pasangannya secara percakapan, emosi, fizikal, seksual, spiritual, undang-undang dan juga kewangan.”

Secara Percakapan termasuk mengugut anda, memaki-hamun, meninggikan suara seperti selalu menengking dan menghina maruah anda dengan perkataan.

Penderaan emosi pula termasuk mengawal dan mendominasi dengan tidak membenarkan atau memberi anda peluang untuk membuat pilihan. Contohnya, anda nak berpakaian pun nak kena ikut sedap mata dia saja malah cara anda berpakaian perlahan-lahan ditentukan olehnya.

Dia kerap mengkritik anda yang akhirnya membuatkan anda berasa terlalu rendah diri. Cemburu buta yang melampau sampai anda nak berkawan pun tak boleh. Segala yang anda buat mesti bagi tau dia dan mendapat izin darinya. Pendek kata putih kata dia maka putih la anda ikut.

Memalukan anda dan merendahkan anda di hadapan orang lain juga antara bentuk deraan emosi. Kadang-kala memandang anda macam “nak makan” supaya anda sentiasa patuh dan takut padanya.

Secara Seksual boleh dikatakan seperti memaksa pasangan/isteri melakukan hubungan seks di luar tabii, memaksa menonton filem lucah, dan memaksa pasangan/isteri melakukan seks di luar kehendak isteri sebagai contoh memaksa isteri melakukan seks sewaktu isteri dalam haid sedangkan isteri menolak.

Secara Kewangan pula faham-faham je la ya. Memang ada wanita malah ramai wanita yang membantu pasangannya dalam bentuk kewangan. Yelah, bukan apa, sesekali ‘top-up’kan ‘handphone’ contohnya, lagi pun bukannya orang lain..’boyfriend sendiri jugak.

Bagi wanita yang dah berumahtangga, membantu suami dalam bentuk kewangan sekiranya mampu dapat juga meringankan bebanan kewangan suami dan keluarga. Apatah lagi sekiranya suami mengalami masalah kewangan.

Sesekali itu biasa. Luar biasa jika sanggup berhabis untuk pasangan sampai hidup sendiri nak makan pun takde sedangkan lelaki itu terus-menerus “menyedut” anda sampai tinggal rangka!

Bagi wanita yang dah berkahwin pula, suami menghabiskan wang ringgit isteri sehingga tahap duit isteri duit dia, duit dia duit dia sedangkan dalam masa yang sama suami mampu berhibur dan berfoya-foya tanpa menghulur sesen pun nafkah untuk isterinya.

Antara tujuan lelaki seperti ini ialah supaya anda menjadi papa dan bergantung hanya kepada dia. Secara tak langsung anda dapat dikawal supaya tidak meninggalkannya kerana sumber kewangan anda hanya kepada dia. Situasi ini banyak terjadi kepada wanita yang telah berkahwin dan hanya sedar selepas keadaan menjadi parah.

Penderaan Fizikal seperti yang anda sedia maklum adalah tindakan ganas seperti memukul, menampar, menumbuk, menolak, menggunakan senjata, kunci anda dalam bilik, menarik rambut dan sebagainya yang berbentuk fizikal.

Secara Spiritual pula selalu menyatakan kepada isterinya bahawa isteri akan jadi derhaka sekiranya menentang atau melawan suami. Kebanyakan lelaki seperti ini menggunakan ayat ini untuk menakutkan dan melemahkan wanita. Dalam masa yang sama dia melayan isterinya dengan buruk dan tidak menunaikan tanggungjawab sebagai suami.

Suka juga saya tambah di sini, bagi yang sedang ‘bercouple’ tu, sekiranya ‘boyfriend’ anda merajuk atau marah kerana anda tolak kehendaknya, seperti mencium anda atau lebih jauh lagi melakukan hubungan sex sebelum kahwin, ini bermakna dia tidak menghormati anda sebagai wanita dan mempermainkan hak anda untuk mempertahankan kesucian diri seperti yang dituntut oleh agama.

Secara undang-undang pula berlaku sekiranya telah bercerai, lelaki tidak memberi nafkah kepada anak yang telah ditentukan oleh pihak mahkamah. Atau sengaja tidak hadir ke mahkamah dengan sengaja untuk melambat-lambatkan proses mahkamah dengan niat supaya isteri terpaksa menunggu lama untuk mendapat pembelaan dan sebagainya.


Seseorang lelaki itu boleh dikatakan sebagai pilihan yang berbahaya untuk anda ‘dating’ atau berpasangan dengannya sekiranya dia:

• Mahukan anda berhenti kerja atau bertukar rakan-rakan hanya kerana dia sahaja.

• Tidak menghormati masa anda untuk bersendirian/‘privacy’. Apa anda nak buat semua dia nak tau. Kalau petang anda telefon dia, kena ‘hantar report’ apa yang anda buat sebelum tu dan apa yang anda nak buat selepas itu. Senang cakap apa saja anda buat dan nak buat dia nak tahu.

• Suruh anda buat perkara yang anda tak selesa buat seperti menipu bagi pihaknya, pinjamkan dia duit sedangkan baru seminggu dua kenal.

• Mendesak ingin selalu berjumpa anda. Hari ni baru jumpa, esok nak jumpa lagi. Dua tiga hari kemudian nak jumpa lagi. Anda kata sibuk atau ada hal, dia pujuk. Anda tetap kata tak boleh dia mendesak juga.

• Ada reputasi menipu.

• Kaki judi, peminum arak.

• Menggunakan dadah atau pil-pil khayal.

• Pernah gagal dalam banyak perhubungan cinta yang lepas dalam sejarah hidupnya. Berapa kali nak kata banyak ya? Kalau umur baru 25 tahun dah gagal bercinta 5-6 kali tu banyak tu… Cinta monyet tak kira!

• Tidak memuji malah menampakkan sikap tidak suka kepada kedua ibu bapanya sedangkan anda dapat rasa dan tau kedua ibu bapanya bukanlah orang yang jahat. Walau pun kedua ibu bapanya ada membuat kesalahan, memburukkan kedua ibu bapa sendiri lebih-lebih lagi pada peringkat baru anda kenali dia menunjukkan sesuatu yang tidak kena dengannya.

• Mempunyai sejarah telah didiagnosis mengalami masalah tekanan jiwa atau “mental illness”

• Tidak berkerja,(Sebab pemalas) Ada sahaja alasan sedangkan anda lihat dia bukanlah sakit atau bodoh.

• SELALU bertukar-tukar kerja atau dipecat dan SENTIASA memberi alasan menyalahkan orang lain sebab kehilangan kerjanya itu.

• Ingin mengawal fesyen rambut anda, pakaian anda, sikap dan cara anda, rakan-rakan atau dengan siapa anda berkawan dan kerja anda pun dia nak kawal juga.

• Menyembunyikan sesuatu maklumat penting tentang dirinya yang anda hanya tau kemudian. Sebagai contoh, dia kata dia bujang, rupanya duda, memanglah duda tu bujang..tapi kenapa tak cakap awal-awal dia pernah kahwin.

• Merasakan dirinya saja yang istimewa, unik dan lebih baik berbanding orang lain.

• Percaya undang-undang untuk orang lain, dia tak tertakluk pada undang-undang dan boleh buat apa yang dia suka.

• Terlalu menarik dan peramah lebih dari kebiasaan. Perlu ambil perhatian di sini, lelaki yang ‘handsome’, cute, ‘smart’, peramah dan boleh membuat perempuan tertarik padanya dengan cepat sekali dari segi penampilannya, caranya, fizikalnya atau apa saja pada dirinya, anda perlu berhati-hati.



Perbezaan di antara wanita yang bersama/berpasangan hanya sekali sahaja dengan lelaki berbahaya berbanding wanita yang kerap berjumpa/berpasangan/ dengan lelaki seperti ini ialah wanita yang pertama itu ‘terbuka’ untuk belajar dan kenal dengan cepat kesilapannya.

Wanita kedua pula tak mahu belajar, banyak memberi alasan atau gagal ‘membuka’ minda untuk mendapat pengajaran.

Hasilnya wanita yang pertama akan lebih kuat, berkeyakinan, berfikiran positif dan akhirnya mampu bertemu cinta sejati dengan lelaki yang ‘sihat dan selamat’.

Wanita kedua pula, akan terus derita..itu saja!

Anda dalam golongan yang mana?

Sunday, April 15, 2007

Rahsia Cinta Sejati dan Rahsia Cinta ‘Bertoksik’.

1. Cinta Sejati- Berkompromi, berbincang dan saling bertukar tempat sebagai ketua dalam perbincangan. Bersama-sama menyelesaikan masalah pasangan dan perhubungan.

Cinta Bertoksik- Cuba menguasai dan mengawal: menuduh; memanipulasi secara pasif dan agresif terhadap pasangan.

2. Cinta Sejati- Mempunyai keinginan secara individu selain bersama pasangan. Contohnya mempunyai rakan-rakan; menjaga perhubungan yang bermakna dengan pihak lain seperti keluarga anda dan keluarga pasangan, saudara-mara dan sebagainya.

Cinta Bertoksik- Penglibatan secara total dalam perhubungan; mempunyai percampuran yang amat sedikit dengan orang lain; tidak mengendahkan rakan-rakan lama dan sahabat baik malah keluarga sendiri

3. Cinta Sejati- Menggalakkan perkembangan pasangan dari segi pertambahan ilmu, kematangan, mentaliti dan sikap positif.

Cinta Toksik- Mengongkong sikap dan tindak-tanduk pasangan; takut pasangan berubah.

4. Cinta Sejati- Kepercayaan yang kukuh dan bersesuaian terhadap pasangan.

Cinta Toksik- Cemburu buta; menguasai dan mengongkong hidup pasangan kerana takut sangat pasangan berubah hati.

5. Cinta Sejati- Menerima kekurangan pasangan; menghormati pasangan sebagai seorang individu yang mempunyai kelemahan sebagai manusia biasa.

Cinta Toksik- Cuba mengubah pasangan ke arah acuan dan imejnya sendiri.

6. Cinta Sejati- Bila pasangan tidak ada bersama, mampu menjaga dan mengawal diri serta boleh melakukan aktiviti harian dengan normal; hidup tetap ceria.

Cinta Toksik- Tak boleh berenggang; gelisah bila keseorangan tanpa berjumpa atau pasangan di sisi walaupun untuk masa yang singkat.

7 Cinta Sejati- Perhubungan berdasarkan kehidupan sebenar dan sentiasa berpijak pada realiti dan bumi nyata.

Cinta Toksik- Perhubungan berdasarkan fantasi dan mengelak dari realiti.

8. Cinta Sejati- Kedua-dua pasangan faham akan tanggungjawab menjaga diri sendiri dan hubungan secara bersama; tahap emosi individu tidak bergantung pada ‘mood’ pasangannya. Sebagai contoh, bila yang seorang sedang marah, seorang lagi mampu mengawal emosi dan keadaan dengan baik.

Cinta Toksik- Mengharapkan pasangan secara total menjaga perasaan dan dirinya. Harapan pasangan akan menyelamatkannya dalam apa jua keadaan tanpa mengambil inisiatif sendiri.

9. Cinta Sejati- Sikap sentiasa untuk membangun dan memajukan diri sendiri amat diberi perhatian. Bila ini berlaku, perhubungan akan secara langsung maju dan bahagia.

Cinta Toksik- Terlalu ‘obses’ dengan perhubungan/percintaan sehingga tidak mengendahkan kemajuan dan pembangunan diri. Akhirnya hubungan akan turut hancur.

10. Cinta Sejati- Sentiasa berada dalam kitaran perhubungan yang selesa dan perasaan dilindungi.

Cinta Toksik- Sentiasa berada dalam kitaran perhubungan yang derita, perasaan takut dan curiga.


ronin

Monday, March 19, 2007

Peringkat Perhubungan ke Arah Cinta Sejati

Dalam usaha untuk ‘mencipta’ sebuah perhubungan cinta yang indah, intim, sihat dan bahagia selamanya, setiap pasangan secara sedar atau tidak pasti melalui beberapa peringkat sebelum mencapai Cinta Sejati.

1) Cinta Yang Romantik

Cinta pada tahap ini segalanya indah, segalanya mungkin sampai ‘Lautan api sanggup ku renangi’. Kekasih berada di ingatan hampir setiap masa. Bila berjauhan teramat rindu, bila bertemu macam tak nak balik la pulak rasa! Keinginan dan kehendak pasangan akan cuba dipenuhi dan dituruti seboleh mungkin.

Ramai pasangan yang berfikir bahawa perasaan cinta yang indah dan romantik amat ini akan berterusan selamanya. Ya lah, janji diucap sehidup semati, ‘dunia bagai kita yang punya’ gitu!

Cinta pada peringkat ini biasanya amat dipengaruhi, menuruti perasaan dan kurang sekali menggunakan akal yang waras.

Peringkat ini biasanya bertahan dari empat bulan(ada yang kurang dari tempoh ini) ke tiga tahun(biasanya dua tahun lebih). Ini adalah peringkat yang paling pendek/singkat masanya berbanding dengan peringkat yang seterusnya.

2) Penyesuaian Kepada Realiti

Okay.. realiti. Dunia yang nyata. Bila realiti muncul, peringkat romantik dan penuh fantasi tadi tu dah mula ‘pecah’. Peringkat ini muncul mungkin secara tiba-tiba atau perlahan tanpa disedari. Mana satu pun cara peringkat ni muncul/tiba, yang pasti ia disebabkan berlakunya konflik dalam perhubungan. Tak kiralah konflik kecil atau besar.

Pencetus konflik boleh berlaku dalam berbagai bentuk dan cara dalam berbagai keadaan dan masa.

Bagi yang nak bertunang atau nak kahwin mungkin jangkamasa pertunangan menjadi isu,atau jumlah duit hantaran,besar kecil majlis perkahwinan yang nak dibuat dan sebagainya. Bagi yang sedang bercinta mungkin cemburu tak tentu pasal, dan bagi yang telah berkahwin pulak macam-macamlah perkara yang boleh jadi pencetus konflik.

Apa saja sebabnya, lepas saja berlakunya konflik, peringkat pertama perhubungan tadi tu akan terganggu.

Perbezaan atau kekurangan dari segi apa pun pada diri pasangan yang tak nampak/tak tau akan mula terlihat. Perasaan tak selesa, tak puas hati, kecik hati, terluka, konflik sudah mula mengambil tempat dalam perhubungan. Ada yang mula rasa ini bukanlah seperti perhubungan yang diimpikan.

Pada peringkat ini adalah biasa terutama bagi wanita akan mula rasa seolah-olah kehilangan sesuatu yang indah. Keinginan nak intim dan erat seperti sediakala mencengkam dan masih wujud namun perasaan menjadi keliru. Kenapa? Sebab perasaan takut sudah mula bertapak. Takut kehilangan, takut kecewa, takut ditipu dan dipermainkan. Bagi yang pernah gagal bercinta, pengalaman lalu mula menghantui diri.

Pasangan secara tiba-tiba terpaksa berurusan dengan perbezaan yang nyata di antara dua pihak, cara menguruskan emosi diri, emosi pasangan dan juga macamana menguruskan perhubungan.

Pendek katalah ya, boleh dikatakan peringkat ini adalah peringkat yang SEBENAR dalam bermulanya sesebuah perhubungan yang “real” ke arah Cinta Sejati.

Bila peringkat ini semakin berkembang, perbezaan pendapat antara pasangan semakin kerap berlaku. Isu kecil pun boleh jadi konflik besar. Lebih buruk lagi suara dah mula tinggi , sindir menyindir, ayat dan perkataan terhadap pasangan dah mula kasar dalam berkomunikasi.

Kedua pihak mempertahankan pendapat masing-masing sehingga kadangkala ‘berperang’. Ada juga dari ‘berperang’ mulut sehingga menjadi penderaan fizikal oleh pasangan. Dalam kes ini selalunya wanita yang menjadi mangsa serangan/penderaan fizikal.

Perlu anda faham, dalam perhubungan jangka panjang antara anda dan pasangan, konflik yang besar(tak kiralah apa jenis konflik) akan berlaku kepada 99% pasangan!

Peringkat inilah juga wujud perasaan ingin memutuskan perhubungan. Pasangan yang dianggap Cinta Sejati tiba-tiba dianggap amat menyusahkan.

3) Peringkat Penilaian

Pasangan yang masih/mampu bertahan di peringkat sebelum ini akan mula berfikir dengan serius di peringkat ini. Setiap kekurangan, perbezaan sikap dalam diri sendiri dan pasangan secara semulajadi akan menjadi perhatian dan dikaji.

Soalan seperti, “Betul ke dia ni pasangan yang sesuai dengan aku?” akan mula terfikir. Kadangkala perhubungan kelihatan tenang tapi hakikatnya perhubungan berada seperti ‘telur di hujung tanduk’. Ramai juga pasangan pada peringkat ini dah mula ada ‘affair’ di luar perhubungan.

Bahayanya di peringkat ini, banyak perhubungan yang gagal!

Pasangan yang berada di peringkat ini perlu mempunyai sikap yang positif dan kemahiran dalam menguruskan konflik,perasaan sendiri dan pasangan serta hubungan. Perasaan perlu dikawal dengan ilmu dan emosi TIDAK boleh dibenarkan sama sekali mengambil tempat fikiran yang waras. Fokus yang tinggi bersama usaha KEDUA-DUA pasangan adalah amat penting.

Hanya dengan cara ini perhubungan dapat dikekalkan dan bergerak ke peringkat seterusnya.

4) Peringkat Kesedaran

Di peringkat ini, kedua pihak sudah mula merapatkan diri dan keinginan untuk meneruskan perhubungan sudah mula terbit.

Segala pengalaman yang telah dilalui,diharungi bersama menjadi satu pengajaran berguna. Konflik dan perbezaan pendapat masih juga berlaku tapi cara dan pendekatan penyelesaiannya sudah mula berbeza. Takde lagi ‘peperangan’.

Kedua pihak mula menggunakan peluang untuk menyelami dan mengenali dengan lebih dalam dan dekat pasangannya. Perbezaan diri masing-masing sudah mula diterima dengan baik dan positif.

Ini memulakan perhubungan yang jujur dan ikhlas membawa kepada perasaan puas dalam perhubungan di antara dua pihak. Perkongsian perasaan dan penerimaan akan keinginan yang berbeza antara pasangan mula berlaku dengan pantas. Mereka akan mula melihat pasangan sebagai diri sendiri.

5) Penerimaan

Peringkat terakhir yang membawa kepada perhubungan yang komited. Pakar merumuskan kurang 5% pasangan tiba di peringkat ini, penerimaan yang mutlak dalam perhubungan.

Di peringkat ini, setiap individu bertanggungjawab dalam tindakannya terhadap diri sendiri, pasangannya dan perhubungan. Dua jiwa menjadi satu. Bekerjasama dalam segala sudut yang diperlukan pasangan dan perhubungan. Konflik sekiranya berlaku(pasti berlaku kerana konflik adalah perkara biasa dalam sesebuah perhubungan) bukan lagi perkara yang merosakkan malah merapatkan lagi perhubungan dan kemanisan cinta.

Pengalaman peringkat-peringkat sebelum ini menjadikan hubungan amat matang dan kuat sehingga ke tahap;

Mereka kenal di antara satu sama lain dan faham keinginan serta apa yang diharapkan oleh pasangan tanpa perlu diberitahu!

Mereka bekerjasama, ‘team work’ untuk kekal harmoni dan tentu sekali menghormati hak pasangannya secara individu. Pendekkan cerita..inilah Cinta Sejati!

Kesimpulan

Ini adalah 5 peringkat kebanyakan pasangan lalui dalam proses perhubungan jangka panjang. Tidak semua pasangan akan lalui setiap peringkat dengan pasti mengikut turutan yang diterangkan tadi.

Anda perlu tau di tahap/peringkat mana perhubungan anda sekarang supaya anda dan pasangan boleh menentukan tindakan terbaik yang diperlukan untuk mencapai perhubungan yang berkekalan.

Perhubungan yang mencapai tahap Cinta Sejati memerlukan masa, ilmu, kesedaran, pengorbanan kedua-dua pihak dan usaha yang berterusan.

Cinta Sejati BUKAN berdasarkan fantasi seperti di peringkat pertama. Cinta Sejati adalah cinta yang “Berpijak di Bumi Nyata”.

Cinta anda?

Saturday, March 10, 2007

3 Lagi Rahsia Lelaki Setiap Wanita Mesti Tau!

1) Kenapa lelaki selalu kata nak telefon tapi takde pun?

Bila dia ‘call’ maksudnya dia ambil berat; dia cintakan anda; inilah biasanya definisi cinta bagi wanita dalam hal ni.

Definisi lelaki pulak; bila aku kerja kuat dan ada pendapatan yang stabil, aku, pasangan dan keluarga aku akan hidup dengan selesa; semua ini sebab aku sayang, cinta dan ambil berat.

Kalau dia tak ‘call’ pada masa yang dijanjikan, mungkin dia sibuk, terlupa atau anda boleh tuduh/kata atau rasa anda seolah-olah tak penting dalam hidup dia. Namun itu TIDAK bermakna dia tak cintakan anda!

2) Lelaki tak suka anda bersikap seperti seorang ibu.

Jangan layan lelaki macam budak kecik, jaga semua keperluan dia hingga ke perkara yang kecil-kecil. Banyak benda yang dia boleh buat sendiri dan anda boleh/perlu memberi sokongan untuknya melakukan sendiri.

Lelaki TAK perlukan seorang lagi ibu! Kalau anda bersikap seolah-olah ibu yang menjaga segalanya untuk dia, percayalah dia akan mula mencari cinta yang lain.

3) Perasaan harga diri lelaki antaranya datang dari kejayaannya dalam karier dan apa yang diusahakan.

Oleh itu, amat penting untuk anda memberikan masa, peluang dan ruang untuk dia bercakap tentang kejayaan dalam hidupnya, walaupun ‘boring’ la pulak anda mendengarnya. Adanya anda sebagai seorang pendengar yang baik pada masa itu adalah satu ‘signal’ yang menyatakan kepadanya bahawa; Anda adalah seorang yang mengambil berat, prihatin, seorang yang boleh berkongsi hidup bersama dirinya, seorang yang boleh diharapkan, anda seorang yang amat pengasih dan dia pasti selesa dan suka bersama anda!

Tuesday, January 2, 2007

3 Rahsia Lelaki Setiap Wanita Mesti Tau!

Dalam artikel kali ni, saya akan bagitau apa yang anda sebagai wanita MESTI tau tentang lelaki/kekasih anda supaya anda dapat memenangi hatinya dan menyuburkan cinta si dia kepada anda.

1) Lelaki BOLEH memisahkan hidupnya dengan perhubungannya. Kalau kerja yang dia sedang fokus, lelaki akan beri tumpuan 100% untuk siapkan kerja tersebut.

Kalau ada masalah besar yang sedang sahabatnya hadapi dan dia bantu berfikir untuk selesaikannya, dia akan curahkan tumpuan yang sepenuhnya sehinggakan perkara lain harus diketepikan dahulu. Kalau percintaannya yang sedang difikir untuk diselesaikannya, dia boleh jadi seorang yang cukup romantic.

Wanita pulak berbeza. Sekali dah terima seorang lelaki dalam hidupnya, perhubungan itu boleh dikatakan adalah hidupnya!

Dua perkara ni wanita rasa susah nak pisahkan. Sepanjang hari bayangan kekasih berada didepan mata. Masa kerja, tengah ‘meeting’..senang cakap selagi tak tidur!

2) Lelaki selalunya simpan dalam dirinya, tak nak bercakap, menerangkan dengan lebih lanjut sesuatu perkara kalau dia tak nak. Tapi taklah bermakna ada yang tak kena dengan anda dan langsung tak bermaksud yang dia tak cintakan anda. Dia hanya tak nak bercakap,berbincang dan menerangkan perkara tersebut buat MASA INI, itu saja.

Kalau anda rasa cara dia respon terhadap pertanyaan anda tu macam nak tak nak jer, macam malas nak jawablah senang kata walaupun anda tau ada sesuatu dalam fikiran dia, adalah amat baik kalau anda biarkan dia dulu. Jangan buat pertanyaan bertalu-talu untuk menunjukkan yang anda ni begitu mengambil berat kononnya.

Ketahuilah bahawa dia sedang menenangkan dirinya, dia sedang memulihkan tenaganya supaya dia dapat kekuatan semula untuk menyelesaikan apa yang sedang dia lalui. Masa ini, jangan kata anda, sesiapa juga takkan dapat mengetahui apa dalam fikirannya kerana dirinya belum bersedia untuk bercerita.

3) Harga diri, kepuasan lelaki selalunya datang dari kejayaannya dalam hidup, kerjaya, apa yang diceburi dan sedang di usahakannya, bukan saja dari perhubungannya dengan anda.

Katalah dia buat sesuatu kerja kat pejabat tak siap lagi, atau apa jer dia tengah usahakan tak jadi atau gagal, dia TAKKAN rasa puas dan lega dan perasaan ini secara tak langsung akan memberi kesan ke atas anda juga, antaranya mungkin anda akan rasa tumpuan dia terhadap anda macam dah kurang.

Oleh tu jangan cepat buat kesimpulan terlalu awal kalau anda rasa tiba-tiba dia macam tak romantik, macam tak sayangkan anda atau rasa macam dia tak beri perhatian kepada anda. Selalunya, kalau anda berfikiran begitu, anda pasti silap.

Perlu anda faham, tak perlu mendapatkan cinta si dia dengan mengubah siapa diri anda. Salah satu resepi utama mengekalkan cinta dan perhubungan yang berkekalan dengan si dia ialah: Anda hormat dan sayang diri anda di atas siapa diri anda dan apa yang anda lakukan. Kalau ini anda buat, si dia akan hormat dan cintakan anda!


p/s: kalau kekasih anda mat rempit atau yang sewaktu dengannya..apa yang saya tulis di atas tu lupakan sajalah yer..sebab jenis-jenis macam ni memang terang-terang menjahanamkan anda sebagai wanita!